Pages

Isnin, 22 November 2010

Tali Leher Islami Ciptaan Iran

Tehrani
Pereka fesyen Iran, Hemat Komeili telah mencipta reka bentuk tali leher Islami yang turut tercetak/tersulam hadis-hadis. Bentuk tali leher tersebut menyerupai bentuk pedang Saidina Ali. Penganut Jafari tidak mengenakan tali leher ala Barat kerana ia diharamkan dalam fatwa-fatwa marja fikah mereka. Tali leher ala Barat disifatkan sebagai membawa lambang peradaban Barat (baca Kristian).

Tidak dipastikan apakah tali leher Islami ini telah mendapat restu dan perkenan daripada marja fikah penganut Jafari. Akan tetapi satu hal yang menarik ialah, dari sebesar-besar perkara (seperti nuklear dan senjata), hinggalah ke sekecil- kecil perkara (seperti tali leher), umat Islam syiah menolak untuk mengasiosasikan diri mereka dengan peradaban Barat dan bertekad untuk 'bergerak sendiri'. Sumber berita tersebut di sini. Satu-satunya komen saya mengenai hal ini ialah, saya berharap Komeili dapat mengenengahkan duta produk yang lebih menyakinkan. Mungkin pelakon terkenal Iran, Mohammad Reza Golzar boleh menjadi model untuk tali leher Islami ini. Mungkin generasi muda Iran akan lebih tertarik dengan ciptaan tali leher tersebut jika ikon dalam dunia hiburan memperkenalkannya. Salah satu lagi strategi perang kebudayaan mereka untuk menolak lambang Barat ialah memperkenalkan anak patung bernama Fatima. Sebelum ini sebuah pengeluar mainan Iran telah pun memperkenalkan "Sara" dan "Dara," untuk mengatasi populariti Barbie dan Ken. Entri saya mengenai hal ini klik sini.


Hossein Homay Seresht, pemilik syarikat mainan kanak-kanak Fam menjelaskan, Fatima dicipta untuk melawan penjajahan budaya musuh. Menurut Seresht, musuh Islam mensasarkan anak-anak bawah 3 tahun dengan mengujakan mereka dengan anak-anak patung yang tidak menutup aurat (seperti Barbie). Fatima tidak seperti anak patung Sara sebelum ini ditampilkan mengenakan hijab penuh (klik sini). Adalah diharap dengan anak patung Fatima, kanak-kanak perempuan beragama Islam akan lebih terpesona dan terpengaruh dari rebung lagi dengan hukum-hakam Islam khususnya yang melibatkan aurat.

Usaha Iran dalam menentang penjajahan kebudayaan terhadap umat Islam ini amatlah menarik dan sewajarnya dipuji. Tanpa menafikan terdapat aspek baik dalam kebudayaan Barat tetapi niat, kehendak, azam dan usaha Iran untuk membina jati diri dan jalur yang berbeza dari Barat menunjukkan kesungguhan mereka dalam mempertahankan nilai-nilai Islam dari terus dicerobohi musuh Islam. Bukan apa, kita baru sahaja pulang dari haji (raya korban), membersihkan diri secara spiritual dan maknawi, tiba-tiba kembali selesa dalam dakapan budaya musuh (dari sebesar-besar perkara hingga ke sekecil-kecil perkara) pun tidak boleh juga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan